Saturday, May 29, 2010

Isteri Ku Bekas Pelacur!!!

SAYA ahli perniagaan yang mempunyai dua isteri yang amat saya kasihi. Isteri pertama, N saya kahwini sejak 18 tahun lalu manakala isteri kedua, K saya kahwini pada 2003. Hasil dua perkahwinan ini saya dikurniakan beberapa anak. 

Saya suami yang amat penyayang pada isteri dan anak-anak. Walaupun mengamalkan poligami, Alhamdulillah semuanya aman dan bahagia.

Apa yang saya ingin kongsi di sini ialah mengenai isteri kedua saya. K sebelum ini janda beranak satu. Sebelum berkahwin dengan saya dia bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di pusat karaoke. Kerana simpati dan kasih sayang mendalam terhadapnya, saya menjadikannya isteri dan membimbingnya untuk menjadi wanita solehah. Saya sedar saya mengambil risiko besar dengan mengahwini K. Sebelum berkahwin, saya berjanji tidak akan mengungkit segala kisah silam K asalkan dia berterus terang pada saya. Oleh itu, K menceritakan pada saya segala yang berlaku padanya sebelum menjadi isteri saya dan berjanji tidak akan merahsiakan apa-apa.

K pernah dirogol sewaktu berumur 18 tahun oleh teman lelakinya. K memberitahu keluarganya dan teman lelakinya bersetuju untuk mengahwininya sebaik saja dia tamat persekolahan, namun perkahwinan itu dibatalkan. Selepas itu K berhijrah ke kota dan bekerja sebagai GRO. Di situlah bermulanya titik hitam dalam hidup K kerana dia mula mengambil dadah, minum arak dan mengamalkan seks bebas. Selepas beberapa bulan, K menjalin hubungan dengan seorang lelaki bukan Islam. Dia berkahwin dengan lelaki itu dan dikurniakan seorang anak perempuan. Namun, mereka bercerai hanya selepas beberapa bulan. Kemudian K berkawan dengan dua lagi jejaka dan menjalinkan hubungan seks tapi kedua-dua hubungan itu putus di tengah jalan. Akhirnya, ditakdirkan K bertemu dan bercinta dengan K sehinggalah saya melamarnya.

Saya menerangkan kepada K risiko yang bakal dihadapinya sebagai isteri kedua. Saya berjanji untuk menjaga dan mendidiknya dengan penuh kasih sayang dengan syarat dia harus meninggalkan cara hidupnya sebelum ini.

Semuanya lancar sehinggalah satu hari dengan kuasa Tuhan rahsia yang tak pernah K ceritakan pada saya terbongkar. Bila saya bertanya kepadanya, K mengaku sebelum menjadi isteri saya, dia pernah mengadakan hubungan seks bersama dua lagi lelaki bukan Islam, selain daripada yang pernah dia ceritakan pada saya. Saya juga dapat tahu yang dia melakukan hubungan seks bersama bekas kekasihnya itu selepas dia mengenali saya dan bersetuju untuk berkahwin dengan saya. Saya sangat sedih dan kecewa. Namun, oleh kerana sayang dan cinta saya memaafkan segala pembohongannya itu.

Keadaan kembali tenang dan hubungan kami kembali bahagia. Selepas setahun berkahwin, K hamil dan saya cukup gembira. Bagaimanapun, dalam satu pertemuan khas dengan doktor saya diberitahu K menghidap penyakit kelamin iaitu siflis. Saya amat terkejut namun tidak terus memberitahu K mengenai hal itu. Selepas saya menjalani pemeriksaan dan disahkan negatif daripada jangkitan siflis baru saya beritahu K mengenai masalah kesihatannya.

Saya minta dia berterus terang kepada saya mengenai kisah silamnya. Selepas saya desak secara diplomasi, akhirnya K memberitahu semasa menjadi GRO, dia juga pernah beberapa kali melacurkan diri dengan alasan kesempitan hidup. Hanya Allah yang tahu betapa hancurnya hati saya menjadi suami yang isterinya bekas pelacur. Dengan tangisan air mata K mohon saya memaafkannya kerana tidak berterus terang sejak awal. Kerana sayang dan cinta, sekali lagi saya maafkan K dan masih sedia menerimanya sebagai isteri. Cuma saya sedih memikirkan dugaan dan nasib saya yang jujur mahu membimbingnya menjadi isteri yang baik. Saya selalu menangis mengenangkan takdir yang saya lalui. Walaupun perit dan sukar untuk menerimanya, saya tetap melayan K dengan hormat dan penuh tanggungjawab. Namun, baru-baru ini sekali lagi saya dikecewakan apabila mendapat tahu sewaktu K berkahwin dulu, suaminya tidak memeluk Islam dan anak hasil perkahwinan mereka adalah anak luar nikah. Saya bingung memikirkan sikap K yang terlalu banyak berbohong pada saya. 

Apabila ditanya, jawapan K ialah tidak mahu melukakan dan mengecewakan saya jika saya tahu keadaan sebenar. Tolonglah saya Dang Setia. Berikanlah sedikit nasihat dan pandangan. Sekiranya K membaca rintihan saya ini, berikan juga nasihat kepadanya. Saya tidak menafikan dia isteri yang baik dan setia sejak kami berkahwin. Saya juga masih mencintainya, biarpun selepas mengetahui rahsia silamnya. Cuma, perkara ini menjadi igauan pada saya. Setiap kali mengikuti kisah gejala sosial seperti seks bebas dan dadah, saya sering terbayangkan K dan akan muncul rasa kecewa serta benci terhadapnya. 

Paling membimbangkan, jika ada lagi rahsianya yang akan terbongkar pada masa depan. Saya tak sanggup mendengarnya lagi. Saya sudah tidak kuat untuk menerima kenyataan ini. Apa yang mampu saya lakukan ialah dengan memujuk hati saya bahawa semua ini dugaan Tuhan pada saya.

No comments:

Post a Comment